Karnival Mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia (Student Carnival 2011) merupakan program tahunan yang menggabungkan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan badan-badan pelajar dalam penganjuran program secara bersama.

Bersesuaian dengan kemasukan mahasiswa yang baharu melangkah ke dunia kampus, penganjuran Student Carnival 2011 ini dilihat mampu memberi pendedahan awal kepada mereka untuk mengenali lebih dekat berkaitan kegiatan berpersatuan di USIM, terutamanya badan-badan pelajar yang bernaung di bawah Bahagian Hal Ehwal Pelajar.

Student Carnival 2011 akan memfokuskan pengenalan secara langsung mengenai setiap kelab dan persatuan pelajar melalui sesi pameran dan seminar. Selain itu, program ini merangkumkan pelbagai aktiviti berbentuk ilmiah, pertandingan, daya inovasi, sukan, keusahawanan, kesenian dan kebudayaan. Semua aktiviti tersebut adalah signifikan dalam usaha menerapkan nilai kemahasiswaan secara holistik di kalangan warga USIM, khususnya kepada pelajar-pelajar yang baru mendaftar sebagai mahasiswa di USIM.

Salah satu kelainan yang ditonjolkan pada penganjuran Student Carnival 2011 adalah dari sudut konsep perlaksanaan yang berbeza berbanding penganjuran pada tahun lalu. Pada kali ini, penekanan terhadap Bahasa Inggeris menjadi teras penganjuran dengan mewajibkan setiap program yang dianjurkan sepanjang Student Carnival 2011 menggunakan bahasa perantara tersebut. Selain itu, setiap badan pelajar yang terlibat di gerai-gerai pameran diwajibkan untuk mengadakan aktiviti interaktif khusus untuk pengunjung bagi mewujudkan kemeriahan suasana dan hubungan mesra di kalangan pimpinan pelajar dengan para pengunjung di Student Carnival 2011.

Impaknya, program ini cukup berpotensi untuk menjayakan hasrat universiti ke arah melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja bersaing memburu kecemerlangan akademik, bahkan memberikan dorongan berkesan kepada mahasiswa untuk meningkatkan nilai tambah dalam konteks kemahiran insaniah di kalangan mereka.

Justeru, diharapkan penganjuran Student Carnival 2011 kali ini akan mendapat sokongan dan galakan yang menyeluruh daripada warga USIM serta mampu membawa citra tersendiri sehingga berjaya mengangkat nama USIM ke peringkat yang lebih tinggi dan disegani.